Sunday, December 18, 2011

Aku menanti..

Aku menantikan kehadiran
Seorang lelaki yang akan bergelar suami
Seorang mukmin yang merindui syahid
Seorang hambaNYA yang sentiasa mengingatiNya
Seorang lelaki yang tegas dan berani
Tidak pernah takut untuk berkata benar
Malah tidak pernah gentar melawan nafsu yang ingin menguasai diri

Dia selalu menghiburkan aku
Dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir munajat

Ketika aku terpesona dengan keindahan perhiasan duniawi
Dia menasihati ku supaya mengingati mati dan keindahan pesona cinta Maha Esa

Dia sentiasa mengingati mati
Baginya,dunia ini hanya persinggahan
Tempat menanam benih amal
Hasilnya dipetik di padang Mahsyar kelak

Dia cukup menjaga matanya dari menjamu tipudaya maksiat
Dia sentiasa mengajak aku mendalami Islam
Sebagai benteng dan bekalan perjalanan kehidupan ini

Dia seorang yang penyayang dan taat akan kedua ibu bapa
Dia juga sentiasa berbakti untuk keluarga

Raut wajahnya sentiasa kelihatan penat
Fikirannya sentiasa memikirkan masalah ummat
yang kini kian membarah

Tambahan pula perjuangannya penuh dugaan
Dia tetap tabah dan sabar
Baginya, keperitan itulah yang akan menjahit semula
Sejadah imannya yang terkoyak
Lantaran mungkin kerana kekhilafannya sendiri

Dia sentiasa menjaga solatnya kerana itulah maruah dirinya
Dia sentiasa berpesan tentang solat di awal waktu

Dialah imam dan pemimpin keluargaku kelak
Dia tidak pernah berasa malu mempertahankan agama IslamNYA
Kerana Islam adalah addin ALLAH yang sebenar-benarnya

Dia sentiasa ingin mencontohi sifat-sifat mulia Rasullullah S.A.W.
Dia juga berusaha mencintai kekasih agungnya
Kekasih sejatinya dan kekal abadi
Iaitu ALLAH.. ALLAHUROBBI

Dia selalu berdoa dan mengimpikan syurga
Dia ingin mengajak aku ke sana sekali
Kerana, di situlah tempat pertama wujudnya cinta
Dia ingin bawa aku ke syurga yang abadi dan hakiki

Aku mencintai dia kerana agamanya dan kerana cintanya kepada Maha Pencipta
kerana cintanya itu mendekatkan aku padaNYA
Cinta Illahi itu jugalah yang menyebabkan aku memilih dia

Siapakah dia..???
Aku masih menanti kehadirannya
Dengan lafaz seribu ketenangan
Doaku, semoga dia tercipta untuk ku
Semoga aku bertemu jodoh dengannya
Kerana..

Dialah pilihan hatiku..
Nikahilah aku keranaNYA ya akhi..
Hanya keranaNYA kau mampu membahagiakan hidup dunia dan akhirat.

**************************************************************************


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..


Hmmm.. hatiku terganggu.. Entah angin apa yang mendodoiku hari ini, membuat aku begitu berani mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa pun. Apalagi mencurahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran lelaki yang sering menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatku .. ahh.. tersedar dari lenaku yang panjang...


Teringat aku tentang didikan orang tuaku.. Ibu dan ayahku telah mendidikku sejak kecil agar aku menjaga maruah dan mahkota diriku kata ibuku “Allah telah menetapkan seorang lelaki yang baik untukmu anakku jika engkau menjaga dirimu sebaik-baiknya..” . Bak kata ibuku lagi “suami yang soleh hanya untuk isteri yang solehah..” sejak hari itu aku berusaha menjaga diriku, aku menutup pintu hatiku dari lelaki manapun kerana aku tidak mahu membelakangi suamiku kelak.

Dalam hatiku, aku bertekad, hanya menerima lamaran seorang lelaki yang benar-benar akan menjadi suamiku.. Aku menghalang diriku dari jatuh cinta dari mana-mana lelaki pun kerana aku tidak mahu diriku jatuh cinta pada lelaki lain selain dari suamiku, apa lagi mengenali,memahami dan menyanyangi mereka.

Tak pernah terlintas dihatiku ingin dipandang cantik, menawan dan mempersonakan oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di mata suamiku. Itulah janjiku pada diriku. Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milik suamiku seorang sahaja. Aku tidak langsung merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai ditanya? Aku takut.. aku mengundang murka dari Allah.. kekasih sejatiku.. bagaimana Allah mahu mengabulkan doaku ingin berjumpa dengannya kelak jika hatiku kotor sebegini....

Ya allah.. jauhilah aku dari fitnah cinta yang penuh noda.. Peliharalah hatiku.. bersihkanlah hatiku.. ampunilah dosaku..

Matlamat aku buat suamiku di alam berumahtangga hanya satu.. Aku ingin menjadi isteri solehah dan terbaik buat suamiku, perkataan yang ku harapkan ketika suamiku memeluk sekujur jenazah tubuhku kelak ialah “Sayang... abang amat menyintai dan menyanyangimu.. sayang..engkau telah menjadi isteri solehah dan terbaik buatku.. aku redha padamu sayang.. moga redha Allah tetap bersamamu.. moga engkau tenang di sana bersama kasih abadimu sayang..”.

Ini impianku, dari dulu sehingga sekarang dan.. selama-lamanya. Tapi.. aku harus lebih terdahulu memperbaiki dan menghias pribadiku kerana itulah yang dituntut oleh Allah. Kalau aku... ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?



Aku tidak nafikan sebagai manusia, aku juga memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah, aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untuk suamiku. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang dinodai maksiat bersama cinta nista hitam lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen dariku... wahai suamiku..

Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah, saat lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Ahh... Aku tertanya-tanya pada diriku.. adakah diri aku kini berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan sebegini.. Aku tak mahu terjerat dalam cinta pada lelaki yang bukan haknya untuk menerima cintaku..

Aku.. bukanlah seorang wanita yang cerewet dalam memilih pasangan hidup.. Siapalah diriku untuk memilih berlian sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Bak kata pepatah, jauh langit dengan bumi..jauh lagi enggang dengan pipit.

Tetapi.. aku juga mempunyai keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar oleh lelaki yang bakal dinobatkan sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tujuan yang satu. Bermas kahwinkan senaskah Al-quran. Tidak perlu yang hadir dalam diriku itu, memiliki wajah setampan Nabi Yusuf Alaihisalam, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman Alaihisalam, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wassalam yang mampu mendebarkan hati jutaan wanita untuk membuat aku terpikat.

Aku yakin jodohku telah tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga dalam hati seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku. Aku yakin..Itu janji Allah! Akan tetapi, selagi hatiku masih belum terbuka, selagi itulah, jangan engkau membazirkan perasaan itu padaku kerana aku tak mahu menyintai lelaki yang bukan menjadi suamiku kelak.. Aku jua tak mahu kotori hatiku semata-mata menyintai lelaki dengan janji cinta yang palsu. Aku cukup takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan rumahtanggaku kelak.

Bagiku, aku merasakan cukup bernilai seandainya aku benar-benar berfungsi sebagai tongkat yang membantu perjalanan suamiku sekiranya kakinya patah dek berjuang. Aku benar-benar ingin menjadi tulang belakang perjuangan suamiku. Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi apabila, akulah yang ditakdirkan meniup semangat juang suamiku kelak.. aku rela menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Suamiku.. akan kukeringkan darah dari lukamu bejuang dijalan Allah dengan tanganku sendiri. Itu impianku ketika bersamamu kelak..

Pesanan akhirku buat suamiku kelak..
Suamiku.. Lontarkanlah cintamu pada khaliqmu dengan sepenuh hatimu.. kerana dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku karena-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Wassalam..

sumber: http://ilusimindaku.blogspot.com - join la page nih..insyaAllah bnyk entry bermanfaat ..

Thursday, December 15, 2011

Saturday, November 12, 2011

Copy Paste



Islam datang bukan untuk berkata: “Jangan menyintai dan buang perasaan cinta itu”, tetapi datang dengan mengajarkan kita bahawa andainya kamu jatuh cinta, maka barhati-hatilah agar cinta itu tidak membuatkan kamu terpesong daripada kebenaran.

When I suddenly think of him, then i will say 'Astaghfirullah'. It is not because i hate him. It is because i love him, that i don't want even my mind touch him as it is still haram for us

You know, what is the sweetest time of the day is? It is when you PRAY. Why? Because you are talking to the One who loves you most~ ♥

Ya Allah, Jika dia benar untukku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dirinya bukan untukku, redhakanlah hatiku dengan ketentuanMu.

“Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah-Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia
untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini
akan jalannya yang benar
Penuhkanlah muara hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini
dengan makrifat, pengetahuan sebenar-benarnya tentang-Mu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini
Sebagai para syuhada’ dlm perjuangan Agama-Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya Rabbal Alamin..

Friday, November 11, 2011

Berjalan Tanpa Henti

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Yang menciptakan segala yang ada di langit dan dibumi..
Alhamdulillah..kita masih diberi peluang untuk terus hidup dan beribadah kepada-Nya..Sungguh nikmat Allah tidak terhitung..cuma kita sebagai manusia terkadang lupa untuk mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah..Setiap yang Allah kurniakan dan segala ketetapan Allah adalah yang terbaik buat hamba-hambanya kerana Allah yang menciptakan kita jadi selayaknya segala aturan kehidupan kita ditentukan oleh Allah.

Allah sentiasa dekat dengan hamba-hambanya.Allah tahu apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik buat kita..


. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu.
ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Al Baqarah : 216 )


Justeru, terimalah segala ketentuan Allah dengan hati yang terbuka kerana disebalik tiap perkara yang berlaku pasti terselit hikmah..Andai pintu hikmah belum terbuka..bersabarlah..

Inna Ma’al ‘Usri Yusra (Sesungguhnya setelah kesulitan
ada kemudahan).



Jangan mengeluh atas ketetapan Allah untuk kita kerana itu sama seperti kita tidak redha dengan ketentuan Allah..Jalani hidup dengan sabar..kuatkan semangat dan sentiasa tingkatkan keimanan dan kecintaan kepada Allah..InsyaAllah segalanya mampu diharungi..Teruskan Berjalan tanpa henti..





Bagaikan jauh jalan yang kutempuh
Langkah demi langkah akan kugagah
Hari demi hari berjalan tanpa henti
Yakinku ada sinar yang menentu
Kalau dah bertemu arah
Yakin penuh pasrah
PadaNya Yang Kuasa dikau berserah
Jika kau rebah jika kau kalah
Bersaksilah rahmatNya akan terserlah
Segala kepahitan segala keperitan
Terima bagai penghapus dosa
Malang yang menimpa duka yang melara
Mungkin di baliknya ada bahagia
Jangan jangan berputus asa
Dari rahmat Yang Maha Esa
Jangan jangan kita lupa
Ujian lumrahnya dunia

Sunday, November 6, 2011

Fitnah Petunjuk Istikharah

“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”

Sepucuk emel dihantar kepada saya.

Beristighfar dan mengurut dada.

Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.

Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.

Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?


MEMBELAKANGKAN ILMU

Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.

Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”

Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.

Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH

Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.

Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:


“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.

Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.


Berhentilah mencari mimpi.

Berhentilah menunggu petanda.

Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.

Ia mungkin mainan Syaitan.


“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]

KESIMPULAN
Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
Jauhi Bid’ah dan Syirik.
Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.

source:
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG