Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta ampun, akan Kuampuni dia.” H.R. Bukhari.
Berdoa merupakan salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ia adalah pengakuan hamba terhadap kekuasaan Allah yang mutlak ke atas segala yang berlaku dan adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah s.w.t.
Sementara itu doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doa tertentu yang digalak supaya diamalkan sebelum ataupun selepas melakukannya.
Kelebihan atau fadhilat doa itu pula amat besar dan banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan merestui doa hambaNya, tidak ada satu daya kuasapun yang dapat menghalangnya dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa itu.
Perlu diingat bahawa untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah dipelihara oleh setiap orang yang berdoa. Di antara tuntutan dan etika berdoa itu ialah:
1. Memelihara sumber rezeki seperti makan, minum dan pakaian daripada sumber yang haram.
2. Berwudhu dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah serta berselawat kepada Rasulullah s.a.w.
3. Berdoa dengan jalan bertawassul dengan amal soleh.
4. Berdoa dengan mengadap qiblat dan mengangkat dua tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.
5. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.
6. Berdoa dengan disertai keredhaan hati, khusyuk jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut terhadap azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya.
7. Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya.
8. Berterusan berdoa dan mengulang-ulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa dengan menganggap doa tidak dikabulkan.
9. Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat atau ketika doa mudah dan cepat dikabulkan. Diantaranya:
i. Di 1/3 akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta ampun, akan Kuampuni dia.” H.R. Bukhari.
ii. Ketika Lailatulqadar.
iii. Hari Arafah.
iv. Di bulan Ramadhan.
v. Hari dan malam Jumaat.
vi. Di antara azan dan iqamah.
vii. Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan.
viii. Ketika sujud di dalam sembahyang.
xi. Ketika mendengar kokokan ayam.
x. Ketika waktu hujan.
xi. Ketika meminum air Zam-Zam.
xii.Ketika membaca al-Qur’an terutama apabila khatam.
xiii Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatan dan kemuliaannya yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjid Al-Haram, masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.
Berdoa menunjukkan ingatan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Mengingat Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu senang mahupun susah. Begitulah juga dengan amalan berdoa, hendaklah dilakukan setiap masa, lebih-lebih lagi di waktu senang dan susah doa akan mudah diperkenankan.
Nabi s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. : Maksudnya : "Sesiapa yang suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu sengan". (Hadis riwayat at-Tirmidzi)