Saturday, January 8, 2011

Aku Dan Kekasihku

Kali ni aku nak kongsikan tentang KEKASIH aku? (aku taip huruf besar tu sebab aku terlampau sangat sayang kat DIA!) Penyayang sifatnya. Betul ni.. tak tipu punya! Pure cintalah nak dikategorikan tu. Apa taknya, masa aku susah, minta tolong sajalah pada DIA. Pasti akan datang bantuan. Bila aku susah hati, boleh terus ngadu kat DIA -> direct! Pergghh !!

Yang bestnya tu, bila aku dah ngadu kat DIA, terasa peace aje. For surelah...KEKASIH, kan?! Ish! Beruntung betul dapat KEKASIH cam ni... tak pernah nak sakitkan hati aku. Bila-bila masa aje aku boleh contact DIA. Yang seronok tu, sebab memang betul-betul rasa DIA tu dekat kat hati ni! Ye la, cinta punya pasal, kan?

DIA tak kisah pun kalau aku tak ingat kat DIA. Tapi rugilah aku. Sebab, kalau aku ingat & contact je DIA, sure macam-macam la yang aku dapat. Tak kiralah, material ke... spiritual ke... emm memang kekasih sejatilah tu! Bila aku rindu kat DIA, baca je surat-surat yang DIA bagi tu. Macam-macam nasihat ada dalam tu. Siap bagi contoh lagi nak suruh aku faham.

Sebelum ni, aku pernah gak frust. Memang sedih giler la masa tu. Ye la, cinta bagai nak rak, tiba-tiba clash gitu aje. Tapi KEKASIH aku yg ni lain, DIA tak kisah pun dengan cerita aku frust tu. Siap bagi semangat lagi. DIA takde jeles pun.

Cuma aku je yang jeles dengan DIA. Memang ramai yang jatuh cinta dekat DIA. So, aku pun kenalah usaha betul-betul. Kata orang putih ~what you give, you get back~

So, kalau aku usaha lebih sikit, aku dapat lebih la, kan? KEKASIH aku ni baik sangat-sangat.

Perfect! Tu yang kadang-kadang aku tengah-tengah malam... pukul 3-4 pagi tu pun, kalau aku terjaga, aku sure akan contact DIA. Rindu aaaa! Sebenarnya, KEKASIH aku ni kaya... millionaire... billionaire...dan entah apa-apa naire lagi... tu yang pemurah sangat tu. Semua keperluan hidup aku, DIA yang support... percaya tak?

Free of charge... tapi aku tak sedap hati la... mestilah kena hargai apa yang DIA bagi tu, kan? Mak aku kata, kalau orang dah bagi, suka ke tak suka, amik aje la.. .pastu pandai-pandailah membalas budi.. tu yang buat aku sanggup berkorban apa sahaja... cheewah!

DIA suruh aku belajar sungguh-sungguh. Kalau boleh belajar semua ilmu. Sebab, KEKASIH aku ni memang cerdik+bijak+genius dan lain-lain...DIA kata, tanpa ilmu, setiap amal yang aku buat semua sia-sia. DIA pun tambah sayang kat aku kalau aku rajin belajar.

Malu la sebenarnya nak cakap ni...

Emm... aku sebenarnya belum pernah jumpa DIA lagi pun. Belum bersedia la... tapi KEKASIH aku ni dah janji, satu hari nanti, mesti jumpa. Sekarang ni menghitung hari la aku ni. Tapi kecut perut gak! Takuut! Aku mesti prepare awal-awal.

Daripada surat-surat DIA yang ada tu, aku tahu la apa yang DIA suka, apa yang DIA tak suka. Mestilah aku nak buat apa yang DIA suka, jadi, DIA tambah-tambah sayang la kat aku, kan? Takpe la, berkorban sekarang, sebab dia dah janji, sapa-sapa yang DIA sayang, DIA bagi hadiah special yang aku tak pernah terfikir pun!

Ish! Rindu sangat dah ni!

Kekasih.. Aku berjanji, aku akan pertahankan cinta suci ini..
Walau nyawa digalang ganti, menggadaikan cinta teragung ini..
Tidak sama sekali..
Walaupun tak pernah berjumpa, aku tetap bahagia..
Itulah kekasihku.. Allah SWT.. cinta teragungku!

- Artikel iluvislam.com

Sedarlah..

Sabda rasulullah s.a.w : "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)

Pernahkah kita terfikir,apabila melihat dunia ini? Dunia yang indah,yang diciptakan oleh Allah kini tercemar dengan maksiat-maksiat yang dilakukan oleh manusia?

Pernahkah kita terfikir akan dosa-dosa yang pernah kita lakukan? Pernahkah kita berasa malu dengan Allah terhadap maksiat-maksiat yang kita lakukan sepanjang hidup kita? Kita diberi rezeki di dunia ini, tapi adakah kita mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya?

Cuba kita fikir, kalaulah kita mati sekarang, layakkah kita ke syurga? Kita patut bersyukur kerana masih lagi hidup di dunia ini dan masih dapat bertaubat dan beribadat kepada-Nya. Jadi, gunakanlah masa sebaik-baiknya, hidup di dunia hanya sementara, carilah pahala untuk akhirat nanti. Kita sekarang berada di dunia akhir zaman.

Selepas kedatangan Dajjal, dunia ini tidak lagi penuh dengan kemaksiatan. Hanya tinggal orang soleh dan benar-benar bertakwa kepada Allah sahaja. Jadi,fikir-fikirkanlah, adakah kita ini sebahagian daripada mereka?

Jika difikirkan kembali, alangkah baiknya kalau kita ini buta, pekak dan bisu. Kenapa?

Sesungguhnya orang-orang ini diberi kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Orang yang buta tidak akan dapat berzina melalui mata kerana dia tidak akan nampak aurat-aurat yang didedahkan oleh orang-orang yang tidak menjaga auratnya.

Orang yang pekak dapat mengelakkan diri daripada zina telinga dan terjaga daripada mendengar perkara-perkara yang tidak baik.

Orang yang bisu dapat mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah,mengumpat,berzina melalui perkataan dan sebagainya.

Tapi, kita seharusnya bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita pada hari ini, kerana kita dapat melihat dunia ciptaan Allah s.w.t yang indah ini.

Kita masih lagi dapat mendengar zikirullah, azan yang berkumandang dan sebagainya. Kita juga masih lagi dapat bercakap untuk menyebarkan dakwah serta membaca Al-Quran.

Jadi, butakanlah mata kita daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan zina atau dosa, bisukanlah suara kita daripada menyebarkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak baik dilafazkan. Sesungguhnya orang yang menyebarkan fitnah seperti meratah daging saudara sendiri.

Pekakkanlah telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang tiada faedahnya dan dengarlah sesuatu yang mendatankan kecintaan kita kepada pencipta kita, Allah s.w.t.

Lakukanlah perkara-perkara yang memantapkan lagi iman kita.

Carilah "harta" iaitu pahala yang boleh dibawa ke akhirat. Jauhilah dosa dan maksiat.

Berdoalah kepada Allah s.w.t yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan setiap pekara di atas dunia ini. Bertaubatlah selagi kita masih diberi waktu oleh Allah. Carilah cinta Allah s.w.t, satu-satunya cinta abadi yang tiada penipuan, kecewaan dan kekal.

- Artikel iluvislam.com

Kalau Ingin, Belajarlah

Kalau ingin dimaafkan, belajarlah untuk memaafkan.

Kalau ingin dihormati, belajarlah untuk menghormati.

Kalau ingin difahami, belajarlah untuk memahami.

Kalau ingin disedari, belajarlah untuk menyedari.

Kalau ingin disayangi, belajarlah untuk menyayangi.

Kalau ingin dikasihi, belajarlah untuk mengasihi.

Kalau ingin diterima, belajarlah untuk menerima.

Kalau ingin dihargai, belajarlah untuk menghargai.

Kalau ingin disenangi, belajarlah untuk menyenangi.

Bukan orang lain yang perlu berubah mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang sebenarnya perlu mengubah diri kita.

Memuaskan hati semua orang itu tidak mudah tetapi berubah untuk memuaskan hati semua orang itu tidak mustahil.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. InsyaAllah Dia akan permudahkan.

- Artikel iluvislam.com

Bunga Yang Cantik Jarang Harum

Sab, 25 Dis 2010 07:10 | Pahrol Mohd Juoi | Editor: kasihsayang


Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah "cermin" dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu... setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, 'beauty in the eye of beholder'.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah... mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua'lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.

Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak... boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa... tapi peluangnya untuk "cantik" tetap serupa!